Pemandu buat 'drift' kena belasah

ORANG ramai memukul pemandu dan penumpang serta merosakkan Proton Saga Iswara yang dipandu secara berbahaya dekat Jalan Loke Yew, awal pagi semalam.

KUALA LUMPUR: Lima termasuk dua wanita cedera dibelasah sekumpulan lelaki sedang membantu mangsa kemalangan di Jalan Loke Yew di sini, awal pagi semalam, kerana didakwa melakukan provokasi.

Kejadian jam 4 pagi itu dikatakan berpunca apabila pemandu Proton Iswara hitam yang tidak berpuas hati dengan kesesakan akibat kemalangan itu memandu secara berbahaya sambil membunyikan hon berulang kali.

Pemandu itu turut didakwa melanggar sebuah kereta yang diletakkan berhampiran lokasi kejadian sehingga mencetuskan kemarahan kumpulan lelaki terbabit yang kemudian memecahkan cermin belakang keretanya sebelum dia beredar.


Bagaimanapun, pemandu itu dikatakan berpatah balik kira-kira setengah jam kemudian dan sekali lagi melakukan aksi berbahaya termasuk 'drift' di lokasi sama sebelum kenderaannya terbabas dan melanggar sebuah lagi kereta.

Pemandu itu kemudian cuba melarikan diri dengan memandu ke arah Jalan San Peng kira-kira 30 meter dari tempat kemalangan, sebelum dikepung kumpulan berkenaan.

Kumpulan lelaki terbabit kemudian dikatakan merosakkan kereta itu menggunakan topi keledar, kayu dan batu sebelum menarik pemandu dan empat penumpang kenderaan itu keluar dan membelasah mereka.

Difahamkan, tiga daripada mangsa termasuk seorang perempuan dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan dan dibenarkan keluar beberapa jam kemudian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Sulaiman Salleh, ketika dihubungi bagaimanapun berkata tiada sebarang laporan mengenai kejadian itu.

Terdahulu, dalam kemalangan itu, seorang pembonceng motosikal maut manakala empat lagi parah selepas motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah kereta yang dikatakan berhenti mengejut di tengah jalan.

Syed Mohd Shahrizal Syed Sahari, 21, yang dijadualkan melangsungkan perkahwinan 23 November ini mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Empat lagi mangsa termasuk dua rakan Syed Mohd Shahrizal pula parah dan dimasukkan ke HUKM dan HKL.

Timbalan Ketua Trafik Bandaraya, Deputi Superintendan Ng Fook Long, berkata polis sudah menahan pemandu kereta itu, seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat Lans Koperal mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1981 untuk membantu siasatan.

Katanya anggota polis berusia 30 tahun itu ditahan selepas membuat laporan mengenai kemalangan berkenaan di Ibu Pejabat Trafik Kuala Lumpur di Jalan Bandar di sini, jam 10 pagi

huhu.. amik kau, yang pi provoke buat apa. Kan dah kena belasah..

2 comments:

Anonymous said...

huu

siap buat drift lagi

mengong ~ kan lunyai kena belasah

xde keje cari keje

hahaha

Anonymous said...

tu la pasal.. ingat ni impak maksima ke huhu..