Perkara Yang Mesti Diteliti Dalam Mendidik Anak-anak

Ramai yang merasakan bahawa mendidik anak-anak untuk cemerlang
memerlukan ilmu keibubapaan yang mendalam. Sebenarnya apa yang anda
perlukan ialah naluri kemanusiaan. Sekiranya anda cuba memahami
kenapa seseorang anak melakukan atau bertindak dalam sesuatu perkara
maka lebih mudah untuk anda merangka penyelesaian dan memikirkan
pendekatan terbaik menangani dan menasihati mereka. Cara terbaik
ialah meletakkan diri anda ditempat mereka dan tanya diri sendiri
kenapa aku melakukannya begini.

Satu perkara yang anda perlu faham tentang tingkahlaku ialah:

`Semua tingkahlaku adalah untuk kebaikan diri sendiri'

Mungkin tingkahlaku anak-anak anda tidak seiring dengan adab sopan,
peraturan atau disiplin tetapi percayalah mereka melakukannya kerana
ada sesuatu yang mereka cari untuk kepuasan diri mereka sendiri.
Setelah anda memahami `hukum' ini maka anda perlu memikirkan sama ada
anak perlu dipuji atau perlu dihukum. Dua perkara ini sangat penting
dan perlu dilakukan dengan berkesan agar ia melahirkan anak-anak yang
positif mindanya.

Sayangnya, tidak ramai ibu bapa yang tahu bagaimana nak memuji atau
menhukum anak-anak mereka. Ada ketikanya pujian yang diberikan
bagaikan melepaskan batuk ditangga dan tidak berkesan. Ada ketikanya
hukuman yang dikenakan pula tidak setimpal, tidak adil dan terlalu
mengikut perasaan lalu anak-anak tidak mempelajari apa-apa disebalik
kesalahan yang telah dilakukan. Hukuman terdiri dalam pelbagai
bentuk iaitu:

Dimarahi dengan kata-kata tetapi tidak menyentuh sifat anak, hanya
menyentuh tingkahlaku mereka.

Dipukul sedikit (bagi anak-anak yang belum remaja).

Didenda untuk melakukan kerja seperti kerja-kerja rumah.

Disekat sementara dari mereka menikmati hiburan kegemaran atau keluar
bersama rakan-rakan.

Dikurangkan wang saku berbanding seperti lazimnya untuk tempoh waktu
tertentu.

Lain-lain.

Adalah penting bahawa hukuman hanya diberikan setelah anak-anak
terlebih dahulu dimaklumkan akibat daripada tingkahlaku buruk
mereka. Sebab itu sekiranya ia kesalahan pertama maka anak tidak
wajar terus dimarahi atau didenda. Biasanya apabila ia merupakan
kesalahan pertama, ibu bapa perlu sekadar memaklumkan yang mereka
marah tetapi tidak menunjukkan kemarahan tersebut. Selepas itu anak
diberitahu apa akibatnya kalau kesalahan itu berulang.

Untuk memuji dan memarahi/menghukum secara berkesan langkah-langkah
seperti berikut hendaklah digunakan:

Maklumkan pada anak-anak sejak awal-awal lagi bahawa anda akan
sentiasa melihat dan memberitahu mereka tentang perkembangan
tingkahlaku mereka. Nyatakan juga apa bentuk ganjaran atau hukuman
yang akan mereka terima.

Pujian dan hukuman mesti disegerakan.

Nyatakan kebaikan atau kesalahan mereka secara spesifik.

Nyatakan dengan jelas apa perasaan anda dan nyatakan apa kesan
tingkahlaku mereka terhadap maruah keluarga atau masa depan mereka.

Diam seketika agar anak anda dapat memahami dan merasakan sama apa
yang sedang anda rasai.

Kalau ia suatu pujian, galakkan anak-anak untuk mengulangi
tingkahlaku baiknya itu. Sebaliknya, kalau ia suatu hukuman,
pastikan anak anda tidak mengulanginya dimasa-masa yang akan datang.
Nyatakan dengan jelas apa tindakan anda sekiranya mereka
mengulanginya dilain masa.

Lihat mata anak ketika anda bercakap, sentuh anak-anak ketika anda
membina keyakinannya.

Sumber keluarga@yahoogroups.com

0 comments: