Zakat Fitrah ada DISKAUN?

Macam2 orang sekarang ni ye..setahun sekali pun masih nak berkira :-(

Wanita tak dapat diskaun zakat maki amil


KUALA LUMPUR: Hanya kerana permintaannya mendapatkan diskaun ketika membayar zakat tidak dipenuhi, seorang wanita bertindak luar batasan apabila dia sanggup memaki hamun amil bertugas di Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, wanita terbabit pada mulanya berkunjung ke kaunter pembayaran zakat sebelum meminta diskaun 10 peratus daripada jumlah sepatutnya dibayar kepada amil bertugas.

Namun, selepas diberikan keterangan dan permintaannya itu ditolak amil berkenaan, wanita terbabit tiba-tiba mengamuk dan memaki hamun petugas kaunter zakat itu.

Adegan 15 minit itu menarik perhatian puluhan pengunjung KL Sentral yang terdengar kecohan.

Wartawan Harian metro turut mendapat rakaman video yang sempat dirakam seorang pengunjung yang secara kebetulan berada di kawasan itu untuk membayar zakat.

Dalam rakaman video kira-kira dua minit itu, seorang wanita berusia lingkungan 30-an berbaju coklat dan berseluar hitam mengeluarkan perkataan bodoh dan mendakwa petugas kaunter zakat terbabit menipunya berulang kali dengan suara yang kuat.

Wanita terbabit dilihat duduk berhadapan amil yang hanya mendiamkan diri walaupun pelbagai perkataan kesat dilemparkan kepadanya.

Ketika itu, dua anggota polis yang kebetulan membuat rondaan turut berada di lokasi berkenaan dan selepas beberapa minit 'mengamuk' wanita terbabit ditenteramkan petugas keselamatan KL Sentral sebelum dia beredar dari kaunter itu.

Sebelum itu, wanita terbabit turut meminta anggota polis menahan petugas kaunter zakat berkenaan kerana mendakwa lelaki itu menipunya.

Difahamkan, wanita terbabit meminta diskaun 10 peratus ketika hendak membayar zakat fitrah, namun amil yang bertugas enggan melayan permintaan itu.

Saksi kejadian, Saifull Lah Ahtee, 30, berkata dia yang berniaga di kawasan itu tiba-tiba terdengar teriakan wanita terbabit yang duduk di kaunter hanya beberapa meter dari gerainya.

"Saya segera bergegas ke situ dan mendapati seorang amil zakat fitrah yang menjalankan tanggungjawabnya dimarahi wanita terbabit.

"Saya yang kehairanan kemudian bertanyakan kepada pengunjung lain di situ dan terkejut apabila mereka mendakwa wanita itu mula berang selepas permintaannya mengurangkan bayaran zakat ditolak amil terbabit," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pengurus Pemasaran dan Perhubungan Awam Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB), Norhayati Kudri, mengesahkan kejadian itu, namun mendakwa keadaan di stesen berkenaan terkawal dan menyifatkannya kes terpencil.

"Saya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh kakitangan beberapa minit selepas kekecohan itu dan bergegas ke situ serta cuba menenangkan wanita terbabit.

"Saya yakin wanita itu tidak berniat jahat...dia mungkin tidak dapat mengawal emosi ketika kejadian," katanya.

Menurutnya, wanita terbabit mula mengeluarkan kata-kata yang kurang menyenangkan selepas permintaannya bagi mendapatkan diskaun bayaran zakat ditolak amil itu.

"Beberapa pegawai yang cuba menenangkan wanita itu terpaksa membiarkannya kerana dia bertindak agresif ketika didekati," katanya.

Norhayati berkata, ketenangan amil berkenaan yang hanya mendiamkan diri ketika wanita terbabit menghamburkan kata-kata kesat membuktikan kredibilitinya sebagai seorang yang penyabar dan sesuai dengan tugasnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai insiden berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata hanya orang yang tidak waras sahaja yang akan bertindak sedemikian.

0 comments: